TIP MENULIS
Bahagian
Pertama
Menulis dan
menjadi penulis bagi saya perlukan kesabaran dan ketabahan (tip
pertama saya). Ini yang paling utama dan paling perlu ada pada
setiap orang yang bercita-cita mahu menjadi penulis. Ketabahan
dan kesabaran ini akan dilalui dalam beberapa peringkat ketika
menulis dan selepas tulisan kita sudah sedia diterbitkan (kadangkala
kita rasa karya kita boleh diterbitkan tetapi penerbit rasa
sebaliknya).
1. Kesabaran dan ketabahan
Dalam proses permulaan menulis, seseorang penulis baru harus
sabar dan tabah bagaimana mahu mencari idea untuk menulis.
Kadangkala penulis baru menghadapi masalah bagaimana mahu
bercerita, mencari bahan cerita atau bagaimana membina
plot-plot dalam cerita itu nanti. Di sini kesabaran paling
utama kerana proses membina cerita bukanlah proses yang mudah.
Proses pertengahan adalah proses yang cukup mencabar kesabaran
penulis, ketika cerita sudah dibina. Sedang sedap menulis atau
menaip tiba-tiba si penulis kehilangan idea. Apa nak ditulis?
Idea terbang melayang, cari tak jumpa-jumpa. Kalau idea dah
terputus macam mana nak menulis, kan?
Sabarlah… ada cara untuk menanganinya.
2. Selepas menghabiskan karya, mencari tajuk buku pun satu
hal
Tetapi perkara ini boleh dibantu oleh penerbit. Kadangkala
dalam proses ini membuatkan kita boleh jadi tidak sabar kerana
kita tidak suka dengan tajuk yang diberikan oleh penerbit.
Sabarlah….
Dan paling penting, seorang penulis baru perlu sabar dan tabah
dalam menghasilkan karyanya, tabah ketika mengetahui karya
mereka dibakul sampahkan dan sabar apabila mendengar komen
daripada editor penerbitan yang mengatakan buku awak ni
rubbish!, buku awak ni tak ada nilai!, apa buat cerita macam
ni?, atau bermacam-macam lagi.
Bahagian Kedua
Daya Khayal(Imaginasi)dan sifat rasional yang seimbang.
Tip kedua saya, seseorang penulis mesti mempunyai daya khayal
(imiginasi) dan sifat rasional yang sama seimbangnya. Seorang
penulis memang perlukan daya khayalan bagi merangka dan
mencorak segala karektor dan plot dalam sesebuah cerita. Namun
di masa yang sama, sifat rasional diperlukan supaya sesuatu
cerita itu tidak dicorakkan dengan cara yang keterlaluan.
Contohnya:
1.Apabila seorang penulis, melihat sesuatu kejadian atau
kemalangan, dengan daya khayal anda yang tinggi sudah tentu
anda dapat mereka atau membentuk satu cerita ringkas dalam
kepala anda sebab dan akibat kemalangan itu berlaku. Contohnya,
sebab kenapa kemalangan itu berlaku mungkin si pemandu leka
berSMS sehingga terlanggar lembu yang sedang bercanda dengan
kekasihnya (lembu pun ada perasaan juga). Akibat kemalangan
tersebut anda boleh reka dengan mengatakan yang jalan raya
menjadi sesak selama lima kilometer (walaupun jalan tersebut
jarang dilalui oleh orang ramai).
Mangsa kehilangan kakinya dan akibat kehilangan kakinya ia
kehilangan kekasih yang sudah tidak mahu pada dirinya lagi.
Dengan daya khayal anda sebagai seorang penulis anda boleh
pergi lebih jauh lagi dengan rekaan cerita yang lebih menarik
dan cantik.
2.Dalam masa yang sama, jangan mereka cerita anda dengan daya
khayal yang keterlaluan. Ianya perlu sederhana dan sifat
rasional anda diperlukan di sini. Seperti contoh diatas,
kemalangan mungkin disebabkan oleh lembu. Tetapi janganlah
sampai anda membuat cerita, lembu membantu orang yang
kemalangan keluar dari kereta atau lembu bercekak pinggang
mentertawakan mangsa. Itu sudah tidak rasional dan mungkin
novel anda bertukar menjadi novel lawak pula nanti.
Anda sudah mempunyai sifat tabah dan sabar, daya imiginasi
yang tinggi dan sifat rasional yang seimbang?
Anda boleh memulakan penulisan dengan satu keazaman. Janganlah
anda menulis kerana nama, glamor atau wang ringgit. Tetapi
menulislah dengan hati terbuka kerana ingin berkongsi cerita
dan ilmu dengan pembaca.
Hidupkan komputer anda… kemudian bertekadlah dalam hati.
Cerita ini akan habis ditulis dan diterbitkan walau apa pun
berlaku.
Anda mahu tip lagi?
Bahagian Ketiga
Kali ini saya mahu membawa pembaca kepada perkara yang perlu
difikirkan sebelum seseorang itu memulakan penulisannya.
1. Pemilihan nama
Nama-nama karakter amatlah penting dalam sesebuah buku, supaya
nama itu mudah dingati oleh seseorang. Jangan sesekali nama
karakter terutamanya hero dan heroinnya sama dalam dua buah
buku yang berlainan tajuk. Saya pernah melakukan kesilapan
begitu sehingga pembaca jadi keliru.
Nama yang sedap didengar dan mengandungi maksud tertentu akan
menggembirakan hati pembaca untuk membaca.
2. Karakter hero dan heroin
Manusia dijadikan ALLAH dengan sifat yang tidak lengkap.
Mencari manusia yang lengkap lapan puluh peratus pun amat
payah di dalam dunia ini. Tetapi di dalam sebuah buku, hero
atau heroin selalu digambarkan seorang yang cukup lengkap
sifatnya. Baik budi bahasa dan juga fizikalnya. Tidak salah
menggambarkan pasangan hero dan heroin yang begitu (saya juga
sering melakukannya) tetapi biarlah berpada-pada. Dan perlu
diingatkan kedua-dua karakter ini janganlah digambarkan
seseorang yang terlalu buruk perangainya sehingga mematikan
selera pembaca untuk membacanya
3. Nama lokasi
Nama lokasi juga memainkan peranan yang penting. Kalau boleh
gunakanlah nama lokasi yang wujud di alam nyata tetapi kalau
penulis mahu menulis nama lokasi rekaan sendiri, biarlah ianya
mudah diingati dan senang
Bahagian Keempat
Bagaimana mahu memulakan penulisan?
Tip dibawah adalah perkara biasa yang saya buat sebelum
memulakan sesuatu penulisan tetapi terpulang pada pembaca
semua sama ada mahu mengikutinya atau tidak.
1.Senaraikan nama-nama watak yang perlu ada di dalam buku yang
bakal ditulis. Nama, usia, status, kalau bekerja apa
pekerjaannya, kalau belajar di mana dan sebagainya. Ini untuk
memudahkan bakal penulis menulis dan membuat rujukan nanti.
Ingat nama-nama tersebut supaya anda dapat menyebatikan diri
dengan nama-nama itu.
2.Rangkakan cerita yang mahu ditulis secara kasar. Plot dan
sub-plot yang perlu ada di dalam cerita tersebut. Ini akan
memudahkan anda menulis ketika berada di komputer nanti.
3.Jangkakan berapa bab yang perlu anda tulis dalam cerita anda
dan setiap bab kalau boleh jangan melebihi sepuluh muka surat
dan tidak kurang daripada lima muka surat.
4. Tuliskan lokasi-lokasi yang perlu ada. Nama-nama jalan
sebagainya.
Membiasakan diri dengan lokasi yang anda tulis memudahkan anda
‘bermesra’ dengan tulisan anda.
Catatan boleh dibuat di kertas terlebih dahulu sebelum menulis
di komputer. Tetapi saya amat jarang sekali menulis sebarang
catatan dikertas kerana tidak mahu membuang masa. Bahkan apa
yang saya fikirkan biasanya saya simpan di dalam otak sehingga
beberapa hari bahkan beberapa bulan (syukur kepada ALLAH
memberi saya ingatan yang sebegini).
Namun perlu ditegaskan di sini tidak salah, mana-mana bakal
penulis mahu mencatatkan sesuatu dikertas untuk senang
diingati. Terpulang kepada daya kebolehan dan ingatan
seseorang.
Nah! Mulakan cerita anda sekarang ini dan berseronoklah…
Bahagian Kelima
Anda semua sudah mempunyai nama-nama watak, tempat, bangunan
dan juga cerita yang perlu ada dalam setiap buku anda?
Anda sudah mula menulis, tetapi sayang ketika dalam ghairah
menulis, idea anda hilang, cerita anda terbantut di tengah
jalan. Apa yang harus anda lakukan?Ada beberapa tip yang boleh
diikuti dan moga-moga ianya dapat membantu.
Tinggalkan sahaja komputer dan tulisan anda. Bawa diri
bertenang begitu juga dengan fikiran anda. Perhatikan
pohon-pohon menghijau atau bayangkan air laut yang berombak
tenang. Perlahan-lahan apabila fikiran anda sudah mula tenang,
anda boleh berimaginasi sesuka hati anda.
Kalau imaginasi anda mengenai air laut dan pohon hijau tidak
dapat membantu anda, bawa-bawalah kaki anda pergi ke tempat
yang anda suka.
Macam saya... saya suka ke tempat membeli belah. Seluas mana
tempat membeli belah yang terpaksa saya redah pun, jiwa saya
akan tenang walau tidak membeli apa-apa. Saya pernah melawat
seluas lima juta enam ratus ribu kaki persegi tempat
membeli-belah di Zhienjain, China balik ke hotel saya boleh
menulis dua puluh muka surat tanpa penat.
Jika ke pusat membeli belah tidak dapat menjalankan otak anda,
ada satu lagi cara untuk anda mendapat idea. Pergilah ke kedai
buku atau perpustakaan. Beli atau pinjamlah mana-mana buku
yang boleh menarik minat anda. Benamkan diri anda di kerusi
atau tilam. Membaca dan membacalah... Petua ini sering saya
lakukandan alhamdulillah ia sangat membantu.
Kalau itu masih tidak dapat membantu, telefonlah kawan-kawan
anda atau berbual dengan adik beradik,bapa atau emak saudara,
sepupu atau sesiapa sahaja yang boleh membuat otak anda mula
bergerak semula.
Masih lagi tidak boleh berjalan otak anda? Satu ketika dahulu
saya selalu duduk melepak di tangga-tangga pusat membeli belah
Sogo, melihat kerenah orang ramai yang hilir mudik. Di situ
saya mendapat banyak idea untuk menulis...
Kadangkala berchatting di internet dapat juga membantu. Tetapi
jangan pula anda terlibat dengan perbualan ‘sampah’ yang tidak
mendatangkan faedah. Lebih elok kalau dapat berbual dengan
rakan dari luar negara, bertukar fikiran mengenai budaya
mereka dan sebagainya (Jangan berbual kosong, mengutuk orang
sana sini penghabisan idea masih tak ada, dosa yang dapat.).
Kalau semua yang saya nyatakan tidak dapat membantu, bahkan
idea lain pula yang timbul untuk membuat cerita baru. Bagi
saya tidak salah kalau anda menulis cerita baru. Simpan cerita
lama yang terbantut di tengah jalan itu buat sementara waktu.
Bagi diri saya, penulisan tidak boleh dihentikan. Cerita yang
terbantut di tengah jalan itu Insya-ALLAH satu masa nanti
boleh disambung semula.
Bahagian Keenam
Saya rasa ketika ini sudah ramai yang mula menulis dan mungkin
ada yang sudah menyelesaikan sebuah novel. Tahniah diiucapkan.
Saya sudah pun memberi beberapa tip menulis untuk diikuti dan
harap pembaca berpuas hati dengan apa yang saya berikan. Kali
ini saya tidak akan memberi apa-apa tip bagaimana untuk
menulis.
Namun saya mahu memberi sedikit nasihat kepada penulis baru
yang baru menghasilkan satu dua karya.
Jangan sesekali memperendah-rendahkan karya orang lain.
Sebagai penulis, setiap detik dan setiap bacaan adalah proses
pembelajaran.
Saya sendiri walau sudah banyak menghasilkkan karya, masih
suka membaca apa sahaja walaupun karya penulis baru. Kita
perlu melihat karya orang lain sebagai satu keupayaan yang
menakjubkan. Jangan sesekali membuat komen atau menghentam
secara peribadi seseorang penulis. Komenlah karya penulis lain
dengan cara yang lebih terbuka. Saya pernah mendengar seorang
penulis yang baru ketika itu menghasilkan 2 buah novel membuat
komen, “Saya menulis kerana saya tahu saya boleh menulis
dengan baik, kerana banyak karya orang lain tidak sedap dibaca
dan entah apa-apa”.
Saya rasa komen yang dibuat adalah komen yang benar-benar
tidak bertanggungjawab.
Jangan malu untuk belajar dan memerhati. Belajar buka sahaja
di universiti tetapi di mana-mana sahaja. Televisyen benyak
memberi saya ide untuk menulis walau waktu menonton saya
begitu terhad sekali. Saya menonton apa sahaja yang saya rasa
logik di fikiran saya seperti CSI(New York, Miami, Vegas),
drama bersiri ‘Dunia Baru’, Al-Kuliyyah, Midsomer Murder,
Travel and Living, English League, Dr. Fadhila Kamsah, bahkan
sesekali kalau ada masa, Trek Selebriti, Chit Chat Azwan atau
Beat TV juga saya tengok.
Jangan terlalu bangga dengan pujian yang diterima dan melihat
kritikan sebagai sesuatu yang melemahkan. Bagi saya pujian
untuk memberi dan memulihkan semangat dan tidak pernah
mengenepikan kritikan. Walau pahit bagaimana sekali pun
sesuatu kritikan itu, saya terima asalkan tidak menyentuh
peribadi dan juga keluarga saya.
Itu serba sedikit nasihat yang dapat saya beri kepada penulis
muda.
Sentiasa merendah diri, merasakan diri sentiasa kekurangan
dalam bidang penulisan dan dapat menerima apa sahaja kritikan,
resipi terbaik untuk berjaya.
Sekian... Selamat menikmati keenakan berkarya.
NORHAYATI BERAHIM